Tumpuan :
Nasional

Op Sky: 18 individu lagi akan dipanggil

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR: Seramai 18 individu sudah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan Op Sky.

Ia susulan RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, seramai 39 saksi sudah dirakam keterangan.
“Dalam tempoh terdekat ini, kita akan memanggil lagi kira-kira 18 individu yang dikenal pasti untuk dirakam keterangan.

“Setakat ini, siasatan masih lagi berjalan dan kita masih memerlukan masa untuk melengkapkannya secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak bank untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan pinjaman oleh pelanggan yang dikenal pasti.

“Jumlah akaun bank dibekukan dan aset yang disita masih sama seperti yang diberitahu sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini sebanyak 4,000 dokumen dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam.

Ia susulan kejayaan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan selain menahan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, 27 individu direman termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang individu awam.
Mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi berkenaan juga, 98 akaun bank dibekukan dengan nilai lebih RM17 juta dan terbaru tiga selebriti yang menjadi duta syarikat turut dirakam keterangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini