Tumpuan :
Nasional

Op Selamat: Kes kemalangan di Johor menurun

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar ketika melancarkan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Polis Johor sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Kempas, 27 Januari lalu. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kadar kemalangan di Johor sepanjang Op Selamat 23/2025 sempena perayaan Tahun Baharu Cina menurun sebanyak 52 kes atau 4.5 peratus berbanding kes yang direkodkan pada operasi sama, tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kes kemalangan yang dicatatkan kali ini adalah sebanyak 1,169 berbanding 1,221 kes pada Op Selamat 21/2024.

Beliau berkata, dalam tempoh Op Selamat yang berlangsung selama enam hari bermula 28 Januari lalu, kemalangan maut turut mencatatkan penurunan sebanyak lima kes atau 62.5 peratus iaitu lapan kes berbanding 13 kes tahun lalu.

“Kes kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes iaitu lapan kes pada Op Selamat 23/2025 berbanding 16 kes pada Op Selamat 21/2024.

“Melalui kaedah ‘total enforcement’ yang dijalankan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor juga berjaya menahan seramai 40 pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dan seramai 23 orang ditangkap di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had yang dibenarkan.

“Seramai 15 orang pula ditangkap di bawah Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, selain daripada penguatkuasaan, JSPT Johor turut menerapkan konsep advokasi dan hasilnya kesedaran masyarakat terhadap peraturan lalu lintas dilihat kian meningkat.

“Justeru itu, dalam Op Selamat kali ini, sebanyak 11,645 keping saman telah dikeluarkan berbanding 23,386 keping saman pada tahun lalu.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 11,741 keping saman yang mana kesalahan utama yang dikenalpasti adalah memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 3,963 saman,” jelasnya.

Kumar berkata, bagi kempen Rumah Selamat pula, pihaknya menerima 542 laporan balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan borang balik kampung yang didapati daripada balai polis berhampiran.

Katanya, sebanyak 3,505 lawatan serta rondaan telah dijalankan dan tiada kes pecah rumah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kejayaan Op Selamat 23/2025 kali ini membuktikan komitmen Polis Johor serta kolaborasi murni antara polis dan masyarakat dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan terjamin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini