JOHOR BAHRU: Polis negeri ini memberi tumpuan kepada 49 lokasi panas kesesakan lalu lintas dan 31 lokasi hitam kemalangan sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baru Cina minggu ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata menerusi Op Selamat yang bermula esok sehingga Ahad ini, seramai 1,767 pegawai dan anggota akan diatur gerak merangkumi pelbagai aspek setiap lokasi tumpuan termasuk lebuh raya, jalan raya dan rumah kediaman.
Katanya, seramai 208 pegawai dan 1,559 anggota termasuk 636 dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan diletakkan mengawal Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.
Menurutnya, dua laluan keluar masuk negara di negeri ini juga antara lokasi tumpuan.
“Enam kesalahan akan diberi tumpuan adalah memandu melebihi had laju dan di lorong kecemasan, memotong barisan dan di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komuniksi ketika memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Polis Johor bersama PERKESO Johor sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Kempas di sini, hari ini.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama PERKESO Johor, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Selatan dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad).
Mengulas lanjut mengenai Op Selamat kali ini, Kumar berkata hala tuju polis Johor bukan sekadar melaksanakan penguatkuasaan tetapi juga mengutamakan tentang advokasi.
“Maknanya dengan jelas, bukan tujuan kita untuk saman sahaja tetapi untuk pastikan pengguna jalan raya bijak dan mematuhi undang-undang untuk keselamatan masing-masing.
“Ini kerana tanggungjawab tentang keselamatan ini bukan pihak berkuasa sahaja tetapi tanggungjawab bersama. Jadi dua aspek kita tekankan iaitu timbang rasa atas jalan raya bagi kelancaran aliran trafik serta meminimumkan kadar kemalangan dan fokus keselamatan dari sudut pencegahan jenayah seperti pecah rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Kumar berkata pihaknya menjangkakan kenaikan 10 hingga 15 peratus kenderaan masuk ke Johor yang dijangka mencecah 100,000 kenderaan.
Katanya, pihaknya juga sudah menerima sebanyak 24 makluman daripad orang awam yang ingin meninggalkan rumah untuk bercuti yang diisi secara dalam talian menerusi aplikasi Volunteer SmartPhone Patrol (VSP) manakala 16 pemakluman dibuat menerusi pengisian borang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.