PETALING JAYA: Kes kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat mendadak apabila 35 kes direkodkan pada hari ketiga Op Selamat ke-22 semalam.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 18 kematian yang direkodkan pada hari kedua op berkenaan kelmarin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui infografik yang dikongsi melalui Facebook hari ini memaklumkan sejumlah 1,289 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara semalam.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mengikuti peraturan ditetapkan, selain memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.
Terdahulu, media melaporkan PDRM akan melaksanakan penguatkuasaan Op Selamat ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ bermula 8 hingga 13 April di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pengguna jalan raya diingatkan memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Beliau turut menasihatkan pengguna yang merancang pulang ke kampung ataupun bercuti supaya menanamkan sifat berkenaan ketika memandu kenderaan demi insan tersayang serta menjamin keselamatan mereka di jalan raya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.