PETALING JAYA: Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina yang berakhir Ahad lalu, merekodkan 7,882 kes kemalangan dengan 66 kematian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah kes kemalangan itu mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu sebanyak 8,784 kes dengan 117 kematian.
Tambah beliau, berdasarkan statistik jumlah kematian, penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai golongan yang merekodkan angka korban tertinggi.
Sejumlah 47 kematian dicatatkan membabitkan golongan berkenaan yang menunjukkan penurunan berbanding 82 kematian pada Op Selamat 21.
“Op Selamat 23 mencatatkan sejumlah 124,286 saman berbanding 183,033 saman pada tahun lalu,” katanya dalam Majlis Apresiasi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina 2025 yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
Menurutnya lagi, berdasarkan prestasi keseluruhan Op Selamat 23, terdapat peningkatan ketara aliran trafik di seluruh negara, yang turut dipengaruhi oleh pertambahan jumlah kenderaan berdaftar iaitu 36.6 juta kenderaan setakat Januari lalu.
Jelasnya, sejumlah 10,715 kenderaan terlibat dalam kemalangan dalam tempoh enam hari berkenaan, iaitu penurunan 1,699 kenderaan bersamaan 14 peratus berbanding 12,414 kenderaan tahun lalu.
Menyentuh mengenai keselamatan harta benda sepanjang musim perayaan kali ini, Razarudin berkata 202 kes jenayah pecah rumah direkodkan berbanding 265 kes tahun lalu.
Pada majlis ini, beliau turut menyampaikan surat penghargaan Ketua Polis Negara kepada kontingan negeri dan daerah yang mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang Op Selamat 23.
Media Prima turut menerima sijil penghargaan selaku rakan media Op Selamat kali ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.