Tumpuan :
Nasional

Op Selamat 23: Kemalangan di Terengganu menurun

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Hanya satu kemalangan maut direkodkan dalam tempoh empat hari pelaksanaan Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina, di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, Ia membabitkan penunggang motosikal di daerah Kemaman.

Menurutnya, ia menunjukkan penurunan kes sebanyak 66.7 peratus berbanding Op Selamat 21 iaitu tiga kes.

Katanya, pengeluaran saman turut menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 3,072 atau 37.7 peratus dengan saman pelbagai kesalahan terkumpul sebanyak 5,073 berbanding 8,145 saman tahun lalu.

“Penurunan kes kemalangan dan saman itu jelas menunjukkan keberkesanan langkah keselamatan jalan raya yang dilaksanakan polis negeri ini.

“Sehingga kini polis Terengganu mendapati pengguna jalan raya mematuhi etika pemanduan berhemah terutama apabila melalui 21 lokasi ‘hot spot’ kemalangan di seluruh negeri ini.

“Rondaan dan pemantauan secara berkala selama 24 jam mengikut syif di lokasi ‘hot spot’ juga memberi impak kepada penurunan kes sepanjang tempoh Op Selamat 23 yang memasuki hari keempat semalam,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, sepanjang tempoh empat hari Op Selamat 23 sebanyak 106 kes kemalangan berlaku, turun sebanyak 26.9 peratus atau 39 kes berbanding 145 kes tahun lalu.

Mohd Khairi berkata, bagi memastikan Op Selamat 23 terus merekodkan penurunan kes, pihaknya meningkat jumlah operasi sebanyak 60.9 peratus iaitu daripada 23 operasi tahun lalu kepada 37 operasi tahun ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 28 kenderaan disita iaitu 16 di Kemaman, Dungun (lapan), Hulu Terengganu (tiga) dan sebuah di Besut.

Beliau berkata, sempena perayaan TBC 2025, sebanyak 115,920 kenderaan memasuki negeri ini dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar terus berdisiplin di jalan raya terutama dalam tempoh operasi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini