KUALA LUMPUR: Sebanyak 121 kemalangan maut direkodkan di seluruh negara sepanjang Op Selamat 19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membabitkan 134 kematian.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Op Selamat 19 merekodkan 15,999 kes kemalangan, iaitu peningkatan 4,674 kes atau 41 peratus, berbanding operasi sama tahun lalu dengan 11,325 kes.
Katanya, jumlah kemalangan maut pada Op Selamat kali ini turut meningkat sebanyak 12 peratus atau 13 kes berbanding Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina pada 2022 dengan 108 kes.
“Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 134 kes, membabitkan pertambahan 15 kes atau 13 peratus berbanding operasi sama tahun lalu iaitu sebanyak 119 kes.
“Dalam pada itu, penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai golongan yang mencatatkan angka korban tertinggi, iaitu 81 kematian daripada jumlah keseluruhan kematian Op Selamat pada kali ini.
“Namun begitu, jumlah ini menurun sebanyak dua kematian berbanding Op Selamat sebelumnya sebanyak 83 kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 19 – Tahun Baharu Cina di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail dan Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara sepanjang Op Selamat kali ini, berbanding 308,726 saman pada Op Selamat 17 yang mana menunjukkan penurunan.
Menurut beliau, penurunan ketara ini menunjukkan bahawa pengguna jalan raya mula membudayakan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang di jalan raya.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini menyatakan tidak akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) yang akan mengganggu perjalanan orang awam.
“Justeru, saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus kepada enam kesalahan utama jalan raya yang dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya PDRM menerusi JSPT menetapkan 30 lokasi ‘hotspot’ kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan bagi Op Selamat kali ini.
Razarudin berkata, meskipun berlaku peningkatan kes kemalangan dan kemalangan maut, semakan di 30 lokasi ‘hotspot’ di Lebuhraya PLUS dan 234 ‘black spot’ di seluruh negara mendapati tiada berlaku kes kemalangan maut.
Justeru katanya, lokasi ‘black spot’ baharu akan dikenal pasti bagi penambahbaikan daripada sudut infrastruktur dengan membabitkan kerjasama daripada agensi berkaitan agar kemalangan dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Elemen Pasukan Gerakan Udara (PGU ) juga digabungkan sepenuhnya bagi menjalankan pemantauan aliran trafik seluruh negara sepanjang Op Selamat 19.
“Manakala pembabitan Unit Dron bersama Unit Penguatkuasa JSPT dalam menguatkuasakan undang-undang setiap hari tanpa gagal, memberikan kesan positif daripada berlakunya perlanggaran kesalahan jalan raya,” katanya.