Oleh: Kumaran Rajamoney
TAPAH: Sejumlah 104,235 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya sepanjang lima hari pelaksanaan Op Selamat 23 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan 43 peratus berbanding Op Selamat 21/2024 iaitu 183,033 saman.
“Jadi kita akan buat kajian adakah sebab-sebab pengeluaran dikeluarkan ini adalah disebabkan oleh sikap pengguna yang mematuhi peraturan jalan raya ataupun kempen-kempen keselamatan pencegahan yang telah kita lakukan sebelum ini berjaya.
“Kita mahu tahu apakah pendedahan ini memberikan pengetahuan kepada pengguna jalan raya supaya mereka lebih berhati-hati mengikut peraturan, dan undang-undang jalan raya,” katanya.
Jelasnya, 44,339 saman dikeluarkan melibatkan enam kesalahan utama iaitu melebihi had laju, memotong di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat telekomunikasi (telefon bimbit).
Dalam perkembangan sama, sejumlah 407 lokasi titik panas kawasan kesesakan dan 76 lokasi titik hitam kawasan kemalangan telah dikenal pasti melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain.
“Di kawasan lebuhraya pula, sejumlah 25 lokasi titik panas dan 17 lokasi titik hitam dikenalpasti. Untuk itu, pasukan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) ditubuhkan bagi menjalankan pemantauan berterusan.
“Hari ini, sejumlah 1.82 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuhraya PLUS, dan ERT akan membantu melancarkan aliran trafik di sepanjang lebuhraya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat Tapah (Arah Selatan) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.