Tumpuan :
Nasional

Op Ragada: Kertas siasatan sudah lengkap, akan dirujuk ke AGC – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan sebuah syarikat penyiaran di Sarawak akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, kedua-dua kertas siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), 403 KK dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penggubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) Akta 613.

Susulan itu, beliau berkata, seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyiaran bersama isteri dan dua lagi individu yang ditahan Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, turut dibebaskan adalah bekas Datuk Bandar dan juga seorang bekas pengurus besar sebuah syarikat kumpulan media.

“Semua empat yang ditahan Jumaat (10 Januari) lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadap mereka selesai dijalankan.

“Dua lagi tangkapan terbaru iaitu bekas Datuk Bandar berusia 67 tahun dan seorang wanita berusia 71 tahun juga bekas pengurus besar tidak dibawa untuk reman memandangkan aspek umur dan kesihatan mereka.

“Kedua-dua mereka dilepaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki membantu siasatan,” katanya hari ini.

Razarudin berkata, tindakan susulan terhadap dua lagi tangkapan terbaru adalah bergantung kepada siasatan pegawai penyiasat dan mereka akan berikan jaminan polis sekiranya siasatan lengkap.

Beliau berkata, bekas Datuk Bandar bersama tiga lagi yang ditahan dalam serbuan terbaru Operasi Ragada adalah pegawai tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek yang disyaki mempunyai unsur penyelewengan.

“Mereka juga turut disyaki menerima perolehan haram hasil daripada projek yang diseleweng itu.

“Sebarang tangkapan lain mungkin bakal dilakukan sekiranya masih ada individu yang dikesan turut terbabit dalam kes ini namun bergantung kepada siasatan kita,” katanya.

Jumaat lalu, lima individu berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan dalam Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang, susulan maklumat risikan mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September tahun lalu.

Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Hasil serbuan, Pasukan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun perbankan dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini