Tumpuan :
Nasional

Op Pertiwi: APMM tahan lima PATI di Pulau Kendi

FOTO: Op Pertiwi: APMM tahan lima PATI di Pulau Kendi

Oleh: Naim Fitri Abu Bakar

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa permit dan dokumen pengenalan diri.

Kesemua mereka ditahan ketika rondaan Op Pertiwi yang dilakukan pasukan itu di kedudukan 15.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pada jam 4.30 petang, semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 hingga 68 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dan kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kapten Abd Razak berkata, bot bersama kru yang ditahan termasuk hasil laut dianggarkan berjumlah 150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk siasatan lanjut.

“APMM mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini