Oleh: Hilmi Malik
IPOH: Polis sedang giat mengesan saki baki suspek yang masih terlibat dalam aktiviti pornografi kanak-kanak di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih memburu beberapa lagi suspek susulan tangkapan yabg dibuat baru-baru ini.
“Saya rasa memang ada lagi, kalau ikut ‘target’ asal ada 18 individu dan yang kita berjaya tangkap adalah 13 dan mungkin ada lagi baki.
“Setakat ini tiada tangkapan terbaru dan tangkapan masih kekal 13 dan kita juga telah buka 13 kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan Program Pemimpin Masa Depan, di sini, hari ini.
Setakat ini, operasi yang digerakkan di seluruh negara itu membabitkan beberapa negeri antaranya Selangor, Perak, dan Pulau Pinang, dan Johor
Beliau juga tidak menolak beberapa lagi siri tangkapan akan meluas di negeri-negeri lain dengan kerjasama Suruhunjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kebanyakan mereka yang kita tangkap ini, alasan yang diberikan adalah mereka tak tahu bahawa memiliki bahan lucah kanak-kanak ini merupakan satu kesalahan,” katanya lagi.
Baru-baru ini, 13 lelaki ditahan secara berasingan di enam negeri selepas disyaki memiliki bahan pornografi dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) secara dalam talian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.