Tumpuan :
Nasional

Op Mengejut PUSPAKOM: JPJ akui ada kenderaan tidak selamat berada atas jalan raya

Anggota JPJ ketika melakukan pemeriksaan kenderaan berat ketika Ops Mengejut PUSPAKOM 2024 di Wangsa Maju. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Terdapat kenderaan berat dikesan menggunakan tayar celup yang uzur dan tidak selamat, meskipun menyedari ia berisiko meletup bila-bila masa.

Itu antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori susulan Op Mengejut PUSPAKOM yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara serentak di seluruh negara semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bertujuan memastikan setiap kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mematuhi standard ditetapkan.

Memberi contoh pemeriksaan di PUSPAKOM Wangsa Maju, di sini, beliau berkata dalam tempoh dua jam operasi pihaknya memeriksa 115 lori sebelum menemui pelbagai perkara yang memerlukan pelbagai penambahbaikan.

“Pertama sekali dari segi penggunaan tayar, kita dapati banyak lori menggunakan tayar celup dan ia berada dalam keadaan tidak selamat.

“Apa yang ditemui di sini hari ini, kenderaan yang dibenarkan berada di atas jalan raya masih belum selamat sebab perkara yang menjurus kepada kemalangan banyak kita temui, terutama sekali apabila kita buat pemeriksaan mengejut di PUSPAKOM ini.

“Kita temui masih banyak lagi lori ataupun bas yang datang untuk pemeriksaan di PUSPAKOM menggunakan tayar tidak selamat. Kita dapati tayar tersebut sangat dalam keadaan uzur dan saya percaya kalau tayar itu digunakan atas jalan raya, bila-bila masa sahaja ia akan meletup,” katanya ketika ditemui selepas operasi di PUSPAKOM Wangsa Maju.

Muhammad Kifli berkata, susulan pemeriksaan mengejut itu, JPJ akan menjalankan siasatan lanjut terhadap kenderaan disita serta kakitangan PUSPAKOM yang meluluskan lori yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

Beliau berkata, penyelia dan kakitangan PUSPAKOM bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu sudah diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ hari ini untuk disoal siasat dan satu kertas siasatan akan dibuka berhubung kes itu dan kemas kini akan diberikan apabila maklumat lanjut diterima.

“Saya sudah maklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM mengenai perkara ini dan pihaknya berjanji tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kakitangan yang dikesan melakukan kerja yang tidak sepatutnya,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada segelintir kes sama namun berjaya dilepaskan sebelum ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM sendiri memberi jaminan akan memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan pemeriksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini