Tumpuan :
Nasional

Op Lancar dilaksanakan mulai hari ini hingga 2 Januari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjalankan Op Lancar mulai hari ini hingga 2 Januari depan sempena musim perayaan dan cuti akhir tahun persekolahan.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ia bertujuan mengurangkan kesesakan melalui tindakan penyuraian di laluan utama, selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“JSPT mengambil maklum pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), lain-lain konsesi lebuh raya serta jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri.

“PLUS dalam kenyataan pada 17 Disember lalu menjangka sebanyak 2.12 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya dalam sehari, susulan pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan bermula hari ini hingga esok, selain kesempatan cuti persekolahan hingga penghujung 2024,” katanya.

Justeru, Mohd Yusri mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut kelajuan ditetapkan, tidak memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, serta mematuhi peraturan lampu isyarat merah.

Beliau turut menasihati orang ramai merancang perjalanan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran, termasuk cuaca serta maklumat aliran lalu lintas, sebelum memulakan perjalanan bersama keluarga.

“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik. Bagi majikan serta pemandu kenderaan perdagangan, digalakkan merancang pergerakan dengan keutamaan menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama seluruh negara.

“Pengguna jalan raya juga hendaklah kekal berdisiplin dan sentiasa berhemah. Pihak polis menghargai kerjasama diberikan pengguna jalan raya. Untuk penyaluran maklumat berkaitan kesesakan lalu lintas, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan pada peringkat daerah dan kontinjen,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini