Tumpuan :
Nasional

Op Khas TBC 2025: 6 pemandu bas positif dadah

Aedy (kanan) memeriksa bas dan melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di Terminal Bersepadu Selatan sempena Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di seluruh negara bagi memastikan kepatuhan sepanjang Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menegaskan langkah ini penting bagi memastikan pemandu bas kompeten dan berhemah.

Menurutnya, JPJ bersama AADK melaksanakan saringan ujian urin terhadap 420 pemandu bas dan hasil saringan mendapati enam pemandu bas positif dadah.

“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Op Khas TBC di Terminal Bersepadu Selatan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, menerusi operasi yang dilaksanakan sejak 20 Januari lalu, sebanyak 6,605 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara diperiksa.

Katanya, 635 notis ke atas kenderaan awam bas dikeluarkan membabitkan antaranya 410 saman, 98 notis larangan penggunaan kereta motor, arah periksa (90 notis), permintaan butir pemandu (16 notis) dan selebihnya, kes lain-lain.

Menurut Aedy, pihaknya juga melaksanakan penyamaran sebagai penumpang bagi mengenal pasti kesalahan pemandu bas di seluruh negara.

“Terdapat pelanggaran etika sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan awam dengan melakukan beberapa kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa berkata, banyak alasan diberi pemandu yang didapati positif dadah ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini