KUALA SELANGOR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 36 notis saman terhadap kenderaan berat dalam Operasi Khas Lebih Muatan, semalam.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi yang bermula kira-kira 12 tengah malam hingga 9 pagi itu dijalankan di sekitar Ijok, Meru dan Kuala Selangor.
Menurutnya, operasi dengan kekuatan 10 pegawai itu memeriksa 25 kenderaan berat.
“Dalam pemeriksaan itu, pelbagai kesalahan dikesan antaranya membawa lebih muatan, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal.
“Sebanyak 36 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai aduan trafik supaya menyalurkan kepada JPJ melalui [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ.