Tumpuan :
Nasional

Op Khas Gempur Teknikal: JPJ sita 11 lori, sebuah bas

Op Khas Gempur Teknikal dilaksanakan susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan. – FOTO: JPJ Selangor/ Facebook

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Sejumlah 11 lori dan sebuah bas disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Khas Gempur Teknikal di seluruh negara, sejak rabu lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, antara kesalahan utama dikesan melibatkan penggunaan tayar botak selain tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.

Operasi khas itu digerakkan susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rata-rata pemandu memberi alasan tidak menghiraukan aspek keselamatan susulan arahan daripada ‘tauke’ yang hanya mementingkan jarak perjalanan.

“Ia sangat membahayakan kerana tayar tersebut boleh meletup bila-bila masa dan akan menyebabkan berlaku kemalangan. Bagi kami, kami tidak boleh menerima alasan tersebut kerana faktor keselamatan perlu diutamakan,” katanya kepada Buletin TV3.

Menurutnya lagi, ketika operasi dijalankan ada segelintir pemandu lori enggan memberi kerjasama, malah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di bahu jalan.

Namun, notis saman tetap dikenakan dengan menampalnya pada kenderaan terbabit bagi membolehkan pemandu atau pemilik hadir pada sesi soal siasat.

Katanya, mereka diberi tempoh selama 14 hari sebelum diambil tindakan senarai hitam.

Sehingga semalam, menerusi operasi terbabit, sebanyak 6,185 kenderaan berat telah diperiksa dengan 847 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini