Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menumpaskan kegiatan memproses sisa elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di Pulau Pinang dan Perak, dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM100 juta.
Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim dalam kenyataannya memaklumkan serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Rabu.
Kilang yang beroperasi tanpa lesen atau kelulusan JAS itu didapati menjalankan operasi memprosesan sisa e-waste dengan menggajikan pekerja warga asing yang tiada dokumen yang sah.
“Hasil serbuan, pihak kami berjaya menahan tiga individu iaitu seorang lelaki tempatan, dan masing-masing seorang lelaki dan wanita warganegara Myanmar.
“Nilai anggaran keseluruhan rampasan adalah berjumlah lebih RM106 juta melibatkan barangan e-waste, jentera, mesin dan bijih besi,” katanya.
Serbuan kedua dijalankan di Sungkai, Perak dengan kejayaan menahan seramai 19 warga asing dan nilai rampasan keseluruhan lebih RM10 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bersama Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.