Oleh: Atikah Azlan
KLANG: Beberapa premis perniagaan termasuk rumah amal dan sekolah kelolaan Global Ikhwan Holdings (GISB) ditutup di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang pagi tadi.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati premis seperti kedai bakeri, runcit dan restoran ditutup dan berkunci serta notis pemberitahuan penutupan operasi juga ditampal di pintu-pintu premis.
Bagaimanapun, kru Buletin TV3 sempat menemu bual seorang peniaga dan pelanggan tetap premis perniagaan GISB di kawasan itu.
Peniaga tersebut yang identitinya tidak ingin didedahkan memberitahu, kebanyakan pekerja premis perniagaan tersebut adalah kanak-kanak dan remaja belasan tahun.
“Dia punya bakeri, dia punya mart memang budak-budak yang jaga. Sebab apabila nak bayar, kita masuk dan beli barang, kita lihat memang budak-budak yang jaga perniagaan itu,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di kawasan perumahan rumah amal milik GISB di Bandar Bukit Raja juga berkongsi pernah melihat sekumpulan kanak-kanak menjual biskut di sekitar taman perumahan tersebut.
“Dulu mereka datang jalan kaki, dari taman ke taman menjual biskut. Kesemuanya anak-anak yatim keluar berjalan kaki,” kongsinya.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 20 premis rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 11 September lalu dan seramai 392 kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pecahan mangsa terdiri daripada 57 kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah, 198 mangsa (5 hingga 12 tahun), 115 mangsa (13 hingga 17 tahun) dan 14 orang lagi berusia 18 tahun ke atas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 402 kanak-kanak dieksploitasi di rumah amal diselamatkan polis
- Op Global: Mangsa diajar aksi tidak senonoh, tagih simpati minta sumbangan – KPN
- Op Global: PDRM dedah kecederaan fizikal dan mental terhadap 172 pelajar
- OP Global: 13 kanak-kanak dipercayai mangsa liwat setakat ini – KPN
- Op Global: Seramai 392 kanak-kanak selesai jalani saringan kesihatan – KPN
- Op Global: Polis sahkan ada kecederaan baharu dan lama pada mangsa – KPN
- Op Global: 159 daripada 171 individu direman kes eksploitasi kanak-kanak – KPN