Tumpuan :
Nasional

Op Global: Dua premis di Perlis diserbu, 63 barangan berkaitan dirampas

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menyerbu dua premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di sekitar negeri berkenaan, semalam.

Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata operasi berkenaan dilaksanakan JAIPs bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi berkenaan dilaksanakan bagi tujuan penguatkuasaan, selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang telah diwartakan pada 28 Ogos.

“Hasil serbuan ke atas dua premis berkaitan GISB Holdings di sekitar Perlis telah menemukan sebanyak 63 barangan berkaitan ajaran tersebut.

“Sehubungan itu, umat Islam di negeri Perlis adalah dinasihatkan untuk menjauhi ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

“Jabatan ini meminta agar mana-mana pihak dan individu untuk tampil memberikan maklumat berkaitan ajaran ini untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Ujarnya, tindakan selanjutnya akan dilaksanakan oleh JAIPs mengikut lunas perundangan dan peraturan yang berkuatkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini