KUALA LUMPUR: Seramai 200 individu ditahan dalam Operasi Global (Op Global) yang dijalankan terhadap kumpulan GISBH, sejak 11 September lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 23 orang sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas sebab-sebab tertentu termasuk tidak relevan untuk dikaitkan dengan GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Penambahan tiga kes berkenaan adalah berkaitan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta satu di Sungai Kapar, Selangor mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kertas siasatan membabitkan tujuh suspek sudah didakwa dengan 29 pertuduhan,” katanya kepada media hari ini.
Razarudin berkata, seramai 31 ahli GISBH termasuk 17 individu yang memegang jawatan di organisasi berkenaan ditahan dalam operasi bermula Rabu lalu di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (sempadan Malaysia-Thailand) dan sudah direman tujuh hari mengikut ATIPSOM 2007.
Beliau berkata, setakat ini juga semua mangsa berusia 18 tahun ke atas sudah diserahkan kepada waris.
“Bagi mangsa yang berusia 18 tahun ke bawah, kita serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pada masa ini PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalam operasi ini dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan sedang berlangsung,” katanya.
PDRM turut meminta mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat untuk tampil membuat laporan di mana-mana Balai Polis berhampiran.
Terdahulu, beliau mengesahkan serbuan yang dibuat di seluruh negara termasuk di pusat perniagaan yang dianggap sebagai ‘Markas Operasi’ GISBH di Bandar Country Homes, pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.