KUALA LUMPUR: Polis mendapatkan perintah reman terhadap 159 daripada 171 individu yang ditahan dalam Op Global di 20 buah lokasi di Negeri Sembilan dan Selangor pada 11 September lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ia selepas saringan dibuat terhadap mereka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan beberapa lokasi lain.
“Tangkapan ada saya sebutkan 171 orang, tetapi apabila saringan dibuat kita telah mendapat permohonan reman ke atas 159 orang.
“Selebihnya apabila saringan dibuat, ada yang di bawah umur..jadi tiada keperluan kita reman. Ada individu direman di Negeri Sembilan dan Selangor dan tempoh reman antara empat hingga tujuh hari,” katanya ketika ditemui pada sidang media di PULAPOL hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, individu yang direman itu masing-masing berusia antara 18 hingga 51 tahun dan kesemua mereka ditempatkan di beberapa lokasi di Selangor dan Nilai.
Dalam perkembangan berkaitan, satu kertas siasatan dibuka di Putrajaya melibatkan kes ugutan terhadap seorang perempuan berusia 20 an.
“Terdapat satu kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan sebuah kes di Putrajaya.
“Baru-baru ini ada seorang wanita telah pun diugut oleh remaja Gerakan Pembela Ummah. Kita telah menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun. Suspek dikatakan telah mengugut wanita terbabit untuk menarik laporan (polis),” katanya lagi.
Suspek akan direman dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Sehingga kini, sebanyak 41 laporan polis telah diterima berhubung premis rumah amal dikaitkan dengan syarikat perniagaan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 402 kanak-kanak dieksploitasi di rumah amal diselamatkan polis
- Op Global: Mangsa diajar aksi tidak senonoh, tagih simpati minta sumbangan – KPN
- Op Global: PDRM dedah kecederaan fizikal dan mental terhadap 172 pelajar
- OP Global: 13 kanak-kanak dipercayai mangsa liwat setakat ini – KPN
- Op Global: Seramai 392 kanak-kanak selesai jalani saringan kesihatan – KPN
- Op Global: Polis sahkan ada kecederaan baharu dan lama pada mangsa – KPN