Oleh: Kadir Edison
LUNDU: Perubahan fikiran pada saat akhir dikenal pasti menjadi salah satu punca ibu bapa kepada 13 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global tidak menuntut semula anak mereka.
Ia dipercayai berpunca daripada nasihat pihak tertentu yang meminta ibu bapa terbabit tidak meneruskan tuntutan terhadap kanak-kanak berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kesemua 13 kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan sementara institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelasnya, enam daripada kanak-kanak tersebut diperintahkan oleh mahkamah untuk terus tinggal di institusi JKM mengikut Seksyen 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 selama tiga tahun, manakala tujuh lagi menerima perintah interim di institusi yang sama.
“Saya rasa itu tidaklah begitu baik untuk kanak-kanak ini, tetapi apa boleh buat kalau ibu bapa pun masih tidak memberi keutamaan kepada menuntut anak itu.
“(Mereka) menuntut sudah, tetapi tidak mahu mengambilnya apabila kita suruh pergi mengambil sebab mereka perlu hadir ke mahkamah juga dan kriterianya perlu dimaklumkan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Mock Cek Program Sejahtera Komuniti Madani di Sematan, Lundu.
Menurut Nancy, semasa proses mahkamah, ibu bapa kanak-kanak itu dimaklumkan bahawa syarat utama adalah memastikan kepentingan kanak-kanak dijaga.
Mereka juga perlu memberikan alamat tempat tinggal semasa bersama kanak-kanak berkenaan.
“Jika terdapat pertukaran alamat, ia harus dimaklumkan kepada JKM kerana alamat itu perlu untuk membolehkan JKM terus memantau keadaan kanak-kanak terbabit,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa terbabit harus memberikan pendidikan formal yang sewajarnya kepada kanak-kanak itu dan dalam tempoh tiga bulan, mereka harus hadir ke pejabat JKM berhampiran bagi membolehkan agensi memantau kanak-kanak terlibat.
Tambahnya, dengan baki 13 kanak-kanak yang masih tinggal di lima institusi JKM, seramai 536 daripada 560 kanak-kanak sudah diserahkan kepada keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Selain itu, yang diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) akta yang sama adalah seramai 11 orang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.