comscore
Tumpuan :
Nasional

Op Global: 13 kanak-kanak dipercayai mangsa liwat setakat ini – KPN

Razarudin mendedahkan seramai 13 kanak-kanak menjadi mangsa liwat menerusi Op Global yang dijalankan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Seramai 13 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa liwat dalam Op Global yang dijalankan di Negeri Sembilan dan Selangor antara 2 hingga 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal  mendapati hanya empat mangsa telah dikenal pasti pada serbuan pertama.

“Dalam temu bual seterusnya, kita dapati sembilan lagi kanak-kanak turut menjadi mangsa. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kesemua mangsa kanak-kanak itu berusia di bawah 18 tahun.

Dalam pada itu, menurutnya, empat lelaki telah disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala masing-masing seorang lelaki dan wanita disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Menerusi siasatan di Negeri Sembilan, seorang perempuan telah dituduh di Mahkamah Port Dickson semalam di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan pengabaian, penganiayaan kepada kanak kanak.

“Tiga lagi siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana saya sebutkan terdapat kes liwat di Kuala Pilah dan Selangor,” katanya.

Terdahulu, seramai 402 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global selepas 20 premis dipercayai ada kaitan dengan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dalam dan luar negara diserbu serentak pada 11 September lalu di Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam operasi itu, seramai 171 individu dipercayai kakitangan syarikat berkenaan telah ditahan.

Loading...
Terkini