Tumpuan :
Nasional

Op Campur, KPDN buka 48 kertas siasatan

Ketua Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 48 kertas siasatan menerusi Op Campur bagi membanteras isu percampuran beras tempatan dan import dalam rantaian pembekalan tempatan.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, operasi yang dilancarkan semalam itu memeriksa 213 premis pengilang dan pembungkus di seluruh negara dengan 300 kampit sampel beras disita.

“Pelaksanaan Op Campur ini bukan sahaja fokus kepada percampuran kandungan beras, tetapi juga kita melihat sama ada peratusan hancur beras yang didaftarkan kerana peratusan hancur ini akan mempengaruhi harga. Jadi kita akan melihat perkara tersebut.

“Sampel yang kita ambil, kita akan menghantar sebahagiannya kepada Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).” Ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelaksanaan Penguatkuasaan Op Campur di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Ujarnya, ia bagi melalui proses pengesahan pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras dalam kampit yang dijangka mengambil masa tiga minggu untuk dilakukan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan pihaknya akan menguatkuasakan Seksyen 5, APD 2011 untuk mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.

Ia termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.

26 Februari lalu, Pegawai Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI dalam laporan media mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT) melalui kajian DNA yang dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini