ALOR SETAR: Sebuah kilang di negeri ini disita kerana disyaki menyorok 180 tan beras putih tempatan (BPT) dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata serbuan dilakukan pasukan petugas khas Op BPT, semalam.
Katanya, beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo.
“Mengesyaki kilang itu kelakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen, pasukan Task Force Khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000.
“Sitaan dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini, hari ini.
Antara agensi dan jabatan yang terbabit dalam operasi berkenaan adalah Kawalselia Padi dan Beras (KPB), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).
Chan berkata ia sitaan pertama dalam tempoh Op BPT dilaksanakan setakat ini membabitkan pemeriksaan terhadap lapan pemborong dan enam pengilang di negeri ini.
“Amaran keras kepada mana-mana pihak supaya patuh undang-undang yang ditetapkan. Kementerian dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja sama ada individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan.
“Jangan ambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya.
Beliau berkata, jika didapati bersalah, kilang terbabit boleh didenda maksimum RM25,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala lesen boleh dibatalkan atau digantung melalui notis secara bertulis Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras.