Tumpuan :
Nasional

Op Bersepadu: Pemandu lari tinggalkan bas bersama 11 penumpang

11 penumpang sebuah bas ekspress terpaksa ‘sidai’ atau menunggu lama apabila pemandu bas berkenaan serta pemandu keduanya ‘lesap’ dipercayai melarikan diri daripada pemeriksaan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa di Pusat Transformasi Luar Bandar (RRC) Gopeng, di sini malam tadi. FOTO NSTP

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Pemandu sebuah bas ekspres nekad melarikan diri meninggalkan bas, bersama penumpang ketika pemeriksaan Operasi Bersepadu dijalankan di Hentian Sebelah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Perak di sini malam tadi.

Bas yang dipercayai bergerak dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu sedang dalam perjalanan membawa 11 orang penumpang menuju Pulau Pinang.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, lelaki itu dipercayai meloloskan diri kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Bas itu bergerak masuk ke kawasan pemeriksaan sekitar jam 10.30 malam. Suspek kemudiannya parkir kenderaannya di tepi, dan terus meloloskan diri.

“Pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa kemudiannya membawa kepada penemuan alat yang digunakan bagi tujuan penyalahgunaan dadah di bahagian pemandu bas. Siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan suspek,” katanya.

Jelas Mohd Zawawi, operasi itu menumpukan kepada kenderaan perdagangan dan pemeriksaan dijalankan bermula jam 9.30 malam oleh 31 pegawai dan 113 anggota.

“Ini adalah Ops Bersepadu yang julung kali diadakan MKN dengan kerjasama dari agensi-agensi lain. Kita akan teruskan Ops ini merangkumi pelbagai keperluan termasuk dalam kes melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Pemeriksaan dijalankan terhadap 155 buah kenderaan, 86 pemeriksaan Imigresen, lapan pemeriksaan kes Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Sejumlah 61 saman dan tujuh notis kesalahan trafik juga telah dikeluarkan,” katanya.

Operasi bersepadu yang julung kali dianjurkan MKN Perak dijalankan dengan kerjasama 10 agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen dan Kastam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini