Tumpuan :
Nasional

Op Ambang Tahun Baharu: PDRM keluarkan 5,433 saman, 466 sitaan

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,433 saman dan 466 sitaan kenderaan direkodkan menerusi Op Ambang Tahun Baharu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi selama lima jam bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, itu membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 2,556 keanggotaan.

Menurutnya, JSPT melaksanakan 175 operasi dengan 11,157 kenderaan diperiksa.

“Pemeriksaan meliputi 3,736 kereta, 5,688 motosikal dan 1,733 lagi lain lain kenderaan.

“Dalam operasi ini, sebanyak 5,433 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas selain 36 tangkapan iaitu 33 orang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dua orang di bawah Kanun Keseksaan dan seorang lagi mengikut tindakan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, JSPT menyita 466 kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, berdasarkan pecahan sitaan, motosikal sebanyak 398 membabitkan motosikal, kereta (66) serta dua lagi lain-lain kenderaan.

“Bagi motosikal, sitaan dibuat kerana kesalahan ubah suai yang ekstrem termasuklah ekzos dan tiada brek belakang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, tiga kesalahan tertinggi yang dikesan ialah memandu melebihi had kelajuan iaitu 1,021 saman, menggunakan lorong kecemasan (953 saman) dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat merah sebanyak 433 saman.

“JSPT menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri sendiri dan semua pengguna jalan raya lain. Pastikan kenderaan yang berada di jalan raya selamat digunakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini