Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik (vape) dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.
Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA petang semalam.
Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM 1.9 juta yang tidak diikrar dalam lori berkenaan.
Serentak itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat tersebut.
Susulan itu enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.
Menurut sumber Serbuan di sebuah gudang penyimpanan barang di Salak South Garden menerusi Op Airways kira-kira 2.30 petang tadi menemukan sejumlah 90 ribu unit rokok elektronik bernilai RM 5.4 juta untuk dijual kepada pasaran tempatan.
Dua suspek yang juga pengarah syarikat turut berada di lokasi bagi membantu siasatan lanjut.
“Di sebuah gudang lagi, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada Jabatan Kastam”, katanya.
Intipan terhadap aktiviti sindiket ini telah dilakukan SPRM sejak tiga bulan lalu .
Sindiket dipercayai bersekongkol dengan membayar ribuan ringgit untuk setiap konsaimen kepada penguatkuasa tanpa melalui mesin pengimbas.
“Ini menyerupai modus operandi kontena terbang .Setakat ini hasil serbuan mendapati negara kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM 8 juta di mana kandunganya juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna”, katanya.
SPRM turut menyita wang berjumlah kira-kira RM 250,000 dan juga empat utas jam tangan, tujuh utas anting-anting, seutas rantai, tiga utas gelang tangan, dua bentuk cincin, satu pouch, dua beg tangan wanita, seutas tali pinggang, satu unit pemacu keras (hard drive), satu unit monitor, dua buah unit pemprosesan pusat (CPU) dan dua buah lori.
Sementara itu enam pegawai kastam dan enam orang awam termasuk empat pengarah syarikat direman empat hari bermula hari ini.
Seorang lagi pengarah syarikat direman lima hari manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin siang tadi di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Kesemua berusia lingkungan 20 hingga 60-an ditahan itu antara jam 8 malam semalam hingga 1 pagi tadi di sekitar Lembah Klang dan juga Putrajaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.