BACHOK: Ombak besar dengan hujan lebat hari ini memberi cabaran buat anggota penyelamat melakukan pencarian kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas di Pantai Kandis, di sini.
Operasi yang bermula seawal jam 7 pagi itu disertai enam pegawai dan 60 anggota daripada enam agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dengan keadaan cuaca hujan dan ombak besar, operasi pencarian mangsa diteruskan dengan kaedah pencarian di sekitar pesisir pantai.
“Kita juga ada bot Polis Marin dan Maritim Malaysia untuk memantau di laut.
“Operasi pencarian di pesisir pantai dilakukan dalam jarak lima hingga 15 kilometer menghala ke Kota Bharu dan jarak sama menghala ke Pantai Cahaya Bulan (PCB),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Semalam, seorang kanak-kanak, Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz, 8, dipercayai lemas selepas tergelincir ketika bersiar-siar di Pantai Kandis bersama ibu dan dua adik-beradik serta dua jiran jam 6.55 malam.
Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian menggerakkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 8.15 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.