Tumpuan :
Nasional

Ombak besar badai rumah penduduk di Kampung Geliga

Keadaan rumah penduduk di Kampung Geliga yang dibadai ombak. – FOTO NSTP

CHUKAI: Lima keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dibadai ombak besar dalam kejadian di Kampung Geliga, dekat sini, petang semalam.

Fenomena air pasang besar dan angin kencang menyebabkan kediaman penduduk dimasuki air laut sehingga dipenuhi pasir dan sampah sarap.

Seorang penduduk, Juliana Ariffin,45, berkata dia dan suaminya, Zainal Yusoff,51, ketakutan selepas rumahnya dibadai ombak kira-kira jam 6.30 petang.

“Memang takut, ketika itu ribut sangat kuat sebelum rumah saya bergegar dipukul ombak.

“Suami segera melaungkan azan dan bertakbir dan saya ketika itu tak putus-putus berdoa sebab sangat takut dengan apa yang terjadi,” katanya..

Juliana berkata, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda kerana bimbang rumahnya akan terus dibadai ombak.

“Saya dan suami mengambil keputusan untuk membawa empat anak segera keluar dari kediaman untuk menyelamatan diri.

“Banyak barangan saya seperti perabut, barangan elektrik pasti akan rosak kerana air ombak masuk sampai ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Kampung Geliga Pantai.

Ujarnya, hakisan yang semakin kritikal berlaku di kawasan kediamannya itu kini semakin hampir dengan pantai.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Zakaria, 67, berkata, fenomena air pasang besar dan ribut kencang yang berlaku semalam adalah yang paling kuat sejak 30 tahun tinggal di situ.

“Sebelum ini bila berlaku ombak besar kediaman kami akan terjejas kerana penempatan kami di sini terlalu dekat dengan pantai dan kejadian semalam sangat dasyat.

“Kejadian semalam juga menyebabkan atap rumah tercabut diterbangkan angin. Ombak pula menggulung sangat besar dan saya waktu itu sangat takut dan bimbang rumah kayu saya itu akan runtuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini