Tumpuan :
Nasional

Olimpik Paris: Berhenti ganggu Zii Jia – Hannah Yeoh

Foto: Hannah Yeoh/ Facebook

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak supaya berhenti seketika membangkitkan isu berkaitan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia.

Sebaliknya, beliau mengajak rakyat Malaysia meraikan pencapaian pemain berusia 26 tahun itu yang memenangi pingat gangsa kedua negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Perbincangan mengenai bersama persatuan berbanding pemain profesional boleh tunggu hari lain.

Hannah berkongsi gambar ketika bertemu pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Facebook. FOTO: Hannah Yeoh / Facebook

“Ya, memang ada sejarah dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), ya dia sekejap dalam RTG (Road to Gold) dan kemudian memutuskan sebaliknya dan kini beliau sepenuhnya pemain bebas, tetapi bolehkah kita sebagai satu negara berhenti seketika dan meraikan hakikat bahawa anak muda ini telah menempuh perjalanan panjang, bangkit semula dan berjaya ke podium Olimpik?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hannah berkata, beliau sendiri tidak mahu memikirkan mengenai ganjaran dan sokongan kewangan yang akan diberikan buat masa ini, sebaliknya mahu membiarkan Zii Jia meraikan detik indahnya di Paris.

“Meraikan kejayaan beliau dan syabas kepada jurulatih Wong Tat Meng kerana membantu Zii Jia sampai ke tahap ini,” katanya.

Semalam, Zii Jia menyumbang pingat gangsa kedua Malaysia, selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 dalam pertarungan mendebarkan berlangsung selama 71 minit di Porte de La Chapelle Arena.

Sehari sebelum itu, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Paris 2024, selepas melakukan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 bagi penentuan pingat gangsa. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini