KAJANG: Semua pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) akan menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan kenderaan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Febuari 2024.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.
Prasarana diberi tempoh sebulan untuk melakukan persiapan dan menyelaraskan sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.
“Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan memohon kad berkenaan.
“Walaupun tambang percuma memberi impak kewangan kepada Prasarana, namun kemudahan ini sebahagian daripada CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka,” katanya ketika ditemui di Stesen MRT Stadium Kajang.
Jelasnya, Inisiatif itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.
Selain itu, RapidKL dan RapidPenang juga ada menyediakan perkhidmatan van khusus untuk penumpang OKU yang dikenali sebagai Rapid Mobility.
“Perhatian yang diberi kepada penumpang OKU adalah konsisten dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai Ihsan.
“Prinsip Kerajaan adalah pengangkutan awam harus bersifat inklusif tanpa mengira latar belakang atau darjat,” katanya.