KUALA PILAH: Wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 19 Januari lalu ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, ditemui selamat di Kuala Lumpur.
Ibunya, Azizah Husin, 56, berkata bagaimanapun keberadaan anak tunggalnya, Rabaah Laily, 33, yang juga OKU pekak dan bisu itu, hanya dimaklumkan kepadanya pada 15 Februari lalu, selepas keadaan kesihatan anaknya itu stabil dalam rawatan di Hospital Kuala Lumpur ( HKL)
Katanya, Rabaah ditemui oleh orang ramai pada 31 Januari lalu selepas didapati merayau-rayau tanpa hala tuju di ibu negara sebelum diserahkan kepada polis.
“Dia kemudiannya dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut berikutan keadaan kesihatannya yang tidak stabil ketika itu kerana sudah lama tidak makan ubat, menyukarkan pihak berkenaan mendapatkan maklumat peribadi daripadanya,” katanya ketika dihubungi.
Azizah berkata , anaknya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol, juga seorang pesakit psikiatri dan kesihatannya mula terjejas selepas tidak mengambil ubat sebaik hilang dari rumah.
“Apabila keadaan kesihatannya semakin baik selepas dirawat selama dua minggu dia kemudian dapat menulis nama dan maklumat diri sebelum pihak berkaitan membuat semakan dirinya dan kemudian menghubungi saya,” katanya.
Azizah berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mengesan anaknya itu dalam pelbagai platform sejak dilaporkan hilang.
Katanya, anaknya kemungkinan menaiki bas ke Kuala Lumpur dan percaya dalam tempoh berkenaan ada yang bersimpati dengan menghulurkan makanan walaupun keadaannya ketika itu mungkin sedikit gelisah kerana sudah lama tidak makan ubat.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan daripada wanita berkenaan berhubung kehilangan anak pada 20 Januari lalu. – BERITA HARIAN