Tumpuan :
Nasional

OKT warga asing lari dari mahkamah

FOTO: IPD ALOR GAJAH

ALOR GAJAH: Polis Melaka melancarkan operasi Op Tutup dan Op Kesan untuk mengesan lelaki warga asing yang melarikan diri dengan tangan bergari dari Kompleks Mahkamah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung kejadian 11.30 pagi.

Menurutnya, suspek yang juga orang kena tahan (OKT) dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kesnya yang dituduh mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu suspek dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan.

“Tiba-tiba dia menolak pegawai pengiring dan melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah ke arah kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ashari berkata, suspek memakai baju T shirt berwarna biru muda dan berseluar panjang putih ketika melarikan diri dan dipercayai masih berada di negeri ini.

Menurutnya, polis kini giat menjalankan operasi bagi menangkap suspek termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Setakat ini suspek masih lagi gagal dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 223 /224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah atau menghubungi balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini