Tumpuan :
Jenayah

OKT kes dadah mati dalam lokap IPD Seberang Perai Utara

FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) dilaporkan meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di Kepala Batas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad berkata, OKT berusia 46 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 39 (a) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, pada 8 Februari lalu.

“Lelaki itu ditahan bersama tiga rakannya di Sungai Dua berkaitan kes dadah dan sedang direman hingga 16 Februari ini, namun pada Isnin lepas dia memaklumkan mengalami sakit di bahagian perut.

“Pihak polis membawa lelaki itu ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan dan selepas pemeriksaan serta diberi ubat, OKT tersebut dibenarkan balik semula ke lokap,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 4 petang semalam, pihak polis mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang membuat pemeriksaan lanjut dan mayatnya dihantar ke HKB untuk bedah siasat.

Menurutnya laporan bedah siasat mendapati lelaki itu meninggal dunia disebabkan ulser dalam perut pecah dan pemeriksaan juga mendapati kematian OKT itu tiada kesan unsur jenayah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini