Tumpuan :
Nasional

Objek terapung dalam sungai rupanya lelaki lemas

FOTO: Ihsan orang ramai

KOTA BHARU: Mayat lelaki berjaket ditemukan hanyut di Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini, jam 6 petang tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu berkata, mayat itu disedari orang awam yang datang berjalan-jalan di Tambatan Diraja itu sebelum ternampak objek seakan manusia terapung.

Katanya, saksi itu segera memaklumkan kepada anggotanya yang sedang bertugas di pejabat Unit Marin APM Kelantan yang terletak di tebing sungai.

“Dengan menggunakan dua bot, seramai lima anggota menghampiri objek terbabit yang hanyut sejauh 50 meter.

“Memang sah objek itu adalah seorang lelaki dan keadaan fizikalnya masih berpakaian lengkap serta dipercayai baru lemas.

“Anggota kami cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tiada tindak balas sebelum pihak perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Mayat dibawa ke jeti Unit Marin dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini