ALOR GAJAH: Suasana di Sekolah Rendah Agama, Jabatan Agama Islam (JAIM) di Taman Sutera di sini, gempar dengan kemunculan seekor ular sawa batik berlingkar di dalam longkang di sekolah berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari semalam, seorang murid perempuan dikatakan terpandang objek berkilat di dalam longkang semasa sedang bermain bersama rakan berdekatan kantin sekolah sebelum melaporkan penemuan itu kepada guru mereka.
Guru sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat berkata, selepas memeriksa dan mengenal pasti objek itu adalah ular sawa beliau terus menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam Malaysia (PDPA) Alor Gajah untuk bantuan menangkap reptilia itu.
“Murid terbabit secara tidak sengaja ternampak objek berkilat di dalam longkang sebelum memberitahu guru kerana mengesyaki ia ular berdasarkan corak pada kulitnya.
“Sebelum ini kami pernah menemui anak ular sawa di kawasan sekolah dan menghalaunya sendiri, namun kali ini ular sawa ini amat besar, jadi terpaksa minta bantuan pihak APM yang berjaya menangkapnya,” katanya.
Menurut Aizat, beliau mengesyaki ular sawa berkenaan datang dari kawasan belukar di belakang sekolah dan menegaskan pihak sekolah sentiasa mengambil langkah perlu termasuk pembersihan berkala persekitaran sekolah bagi mencegah kehadiran haiwan liar.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, empat anggota APM bergegas ke lokasi sejurus menerima aduan dan mengambil masa sekitar 20 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan penjerut dan pengepit.
“Sebaik tiba dan memeriksa longkang terbabit, anggota APM mendapati seekor ular sawa sedang berlingkar di dalamnya.
“Ular sawa yang ditangkap itu sepanjang kira-kira tiga meter dan berat hampir 30 kilogram. Ia dibawa ke pejabat APM Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.