comscore
Tumpuan :
Nasional

Objek batik di pagar rupanya ular sawa 15 kg

APM Kuala Pilah menangkap ular sawa batik di halaman rumah penduduk di Kampung Masjid Terentang awal pagi tadi. – FOTO Ihsan APM

KUALA PILAH: Suami isteri di Kampung Masjid Terentang, di sini, tidak menyangka objek dengan corak batik di pagar rumah mereka sebenarnya ular sawa sepanjang kira-kira empat meter.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, Zawawi Abdul Rahman, 50-an berkata, dia pada mulanya tidak nampak dengan jelas haiwan liar berkenaan kerana cahaya lampu samar sebelum memeriksa dengan lampu.

“Ketika itu saya dan isteri mahu keluar kerana ada urusan. Saya ke pagar terlebih dulu sebelum ternampak objek aneh dengan corak batik dan rasa tidak sedap hati, namun rupa ular belum jelas kerana suasana gelap.

“Saya memeriksa dengan lampu dan memang sah, ia sejenis ular sawa batik yang agak besar. Saya dan isteri agak terkejut sebelum menghubungi ketua kampung memaklumkan kejadian ini,” katanya.

Zawawi berkata, ketua kampung, Roslan Kasim kemudiannya menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum sepasukan agensi itu tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Anggota memaklumkan ular ini belum membaham apa-apa binatang berdasarkan keadaan perutnya. Namun, sepanjang menunggu ketibaan APM, ia tidak bergerak dari lokasinya ditemui yang memudahkan kerja menangkapnya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, seramai empat anggota APM Daerah Kuala Pilah ke lokasi kejadian.

“Operasi yang diketuai Prebet (PA) Ahmad Hambali Ahmad Kamal itu berjaya menangkap seekor ular berkenaan dengan berat 15 kilogram dan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Loading...
Terkini