KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini mengesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membenarkan pihak ketiga mengadakan sebarang aktiviti di sekolah.
Menurut Presidennya, Aminuddin Awang, ia susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa sekolah antara sasaran sindiket penipuan kewangan menjalankan aktiviti kaji selidik dan jelajah mempromosikan perniagaan mereka.
“Kita sebenarnya merasa terkejut dengan apa yang didedahkan SPRM pada masa sama apa yang telah didedahkan ini satu cabaran warga pendidik untuk mereka terus berhati hati.
“Kerana sebelum ini kita dapati guru-guru ini bukan sahaja jadi sasaran golongan diperkatakan ini, tapi dijadikan sasaran untuk bermacam perniagaan, pelaburan yang disasarkan kepada guru ini untuk menjadi pelanggan mereka,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Tambahnya, pendedahan itu juga membuka mata semua pihak terutamanya pentadbir sekolah agar lebih berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa sindiket seperti itu.
“Kita mengharapkan dengan pendedahan ini membuka semua pihak terutama pihak pentadbir sekolah dan Kementerian Pendidikan sendiri untuk mengambil langkah lebih tegas untuk mengelakkan lebih ramai guru guru terjerumus ke dalam perkara ini.
“Kita mengharapakn selepas ini ada SOP lebih ketat daripada KPM untuk pihak-pihak luar yang nak buat pelbagai program atau kaji selidik ke dalam sekolah.
“Kedua kita harapkan program literasi kewangan akan dapat dipertingkatkan di peringkat dalam kalangan guru sekolah khususnya melalui program latihan dalam perkhidmatan yang dianjurkan pihak sekolah pada setiap masa,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan syarikat perunding kewangan yang mendalangi sindiket penipuan pinjaman peribadi menggunakan beberapa ikon dalam kalangan artis dan selebriti yang dilantik sebagai duta rasmi untuk mempromosikan syarikat.
Malah, sekolah juga dijadikan sasaran sebagai lokasi jelajah serta kaedah soal selidik dalam usaha memancing individu dalam kalangan guru sekolah sebagai pelanggan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.