SHAH ALAM: Pelakon Hafidz Roshdi, 29, sedih apabila dimaklumkan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, mengalami keguguran pada 23 April lalu.
Berikutan itu, Hafidz ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, berkata dia sudah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut berkaitan perkara tersebut.
“Saya sedih terima berita Nurul Shuhada alami keguguran anak ketiga pada 5 Mei lalu.
“Sekarang semuanya dalam siasatan sebab saya sudah membuat laporan polis mengenai keguguran ini.
“Jadi, saya berharap semoga semuanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada BH Online.
Mengulas lanjut mengenai laporan polis dibuat, Hafidz mendakwa, dia pernah menerima mesej Nurul Shuhada yang meminta izin untuk menggugurkan kandungannya.
“Saya dapat tahu mengenai kehamilan selepas Nurul Shuhada menghantar mesej. Dalam kiriman WhatsApp, Nurul Shuhada memberitahu dia mahu menggugurkan kandungan.
“Jadi, saya buat laporan polis berkaitan perkara itu.
“Alasannya, panjang. Tetapi, salah satunya mahu fokus dengan kehidupan baharu. Lagi satu, dia akui mahu membela dua cahaya mata pun sudah setengah mati, tambah pula jika ketiga.
“Tetapi tahu-tahu sahaja, Nurul Shuhada sudah keguguran. Bila dapat tahu keguguran, saya terpaksa membuat laporan untuk polis buat siasatan,” dakwanya.
Hafidz mendakwa, dia pernah menghalang Nurul Shuhada meneruskan hasratnya untuk menggugurkan kandungan.
“Nurul Shuhada minta saya duit untuk kos pengguguran. Saya tak tahu sebab tiada bukti resit atau hospital. Jadi, saya kena tahu mengenai itu.
“Saya tak setuju Nurul Shuhada gugurkan kandungan. Saya sudah menghalangnya dan cakap, jangan gugurkan. Jaga baik-baik (kandungan) sebab saya akan bertanggungjawab.
“Saya halang melalui mesej di WhatsApp ketika dia mesej saya. Selepas berita keguguran, saya tidak menghubunginya lagi,” dakwanya.
Peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada peguam Nurul Shuhada sebelum berita keguguran tular.
“Kami sudah menulis kepada peguam defendan serta merta selepas Hafidz menerima kiriman WhatsApp daripada defendan mengenai hasrat menggugurkan kandungan.
“Kami hantar surat pada 7 April lalu dan katanya, tarikh gugurkan pada 8 April lalu.
“Hafidz kemudiannya membuat laporan polis pertama, mengatakan bahawa dia menerima kiriman mesej isterinya dan tidak bersetuju dengan cadangan menggugurkan kandungan.
“Apabila mendapat tahu berita keguguran, Hafidz terperanjat dan terfikir sama ada ini kebetulan atau sebaliknya.
“Jadi, Hafidz membuat satu lagi laporan polis mengatakan ini adalah satu kesalahan jenayah yang mana melakukan keguguran dengan sengaja. Kami mahu pihak polis menyiasat,” katanya.
Pagi tadi adalah prosiding bagi sebutan pengesahan lafaz cerai Hafidz terhadap isterinya, Nurul Shuhada, bagaimanapun mahkamah menetapkan 20 Jun sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya.