comscore
Tumpuan :
Nasional

Nurul Masyitah ditidurkan selepas jalani pembedahan selama 5 jam

KUALA LUMPUR: Susulan kemalangan yang membabitkan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias di Johor Bahru, mangsa ditidurkan selepas selesai menjalani pembedahan selama lebih lima jam di sebuah hospital swasta, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Eksekutif Persatuan Kanu Malaysia, Shafinas Osman.

Katanya atlet berusia 22 tahun itu akan menjalani satu lagi pembedahan kerana memerlukan kulit baharu untuk ditampal di bahagian belakangnya yang cedera akibat diseret sejauh 100 meter (m).

“Saya dimaklumkan pembedahan berjalan dengan lancar dengan bahagian pelvis kiri dan kanan dipasang plate.

“Skru turut dipasang di bahagian kaki kirinya serta tulang bahu kanan berdekatan dengan tulang selangka yang patah turut dipasang skru.

“Tapi ketika ini Siti ditidurkan. Saya dimaklumkan bahagian belakangnya tak cukup kulit untuk menampung bahagian yang diseret itu.

“Kes Siti ini akan dirujuk dengan pakar pembedahan plastik untuk membincangkan bagaimana cara terbaik untuk menampung bahagian belakangnya,” katanya.

Menurut Shafinas, wakil persatuan sehingga kini masih belum boleh melawat Nurul Masyitah kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Nurul Masyitah dilaporkan mengalami retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat terbabit kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi sebelum dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang.

Beliau berkata, kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.

Terdahulu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dalam satu kenyataan memaklumkan, Nurul Masyitah parah selepas dilanggar dan diseret sejauh 100 meter apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan.

Katanya, berdasarkan rakaman video pada papan pemuka sebuah kereta, Siti Nurul Masyitah yang mengambil jurusan kejuteraan mekanikal di politeknik itu dilanggar kereta yang dipandu dalam keadaan melulu dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 100 meter.

Nurul Masyitah adalah atlet kayak dan bot naga Malaysia yang membantu negara memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2023.

Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat tangan ‘peace’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini