KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Semenanjung Gaza, Nurul Ain Haron berasa sedih dan hiba apabila mendapat tahu stor pemborong yang menjadi sumber utamanya sebelum ini mendapatkan barangan bantuan untuk diagih kepada penduduk Palestin, dibom lewat malam kelmarin.
Nurul Ain, 37, ketika ditemui BH berkongsikan perkembangan mendukacitakan itu berkata, pemilik stor itu yang terletak di Khan Yunis, Abu Faiq turut memaklumkan bahawa bapa saudaranya terbunuh dalam serangan bom itu.
Katanya, sejak keadaan semakin meruncing di Gaza, beliau bersama suami, Mohamed Adan Shaat, 33, tidak lagi meminta saudara-mara mereka di sana membelikan barangan bantuan.
Sebaliknya, beliau berkata, bantuan kewangan diserahkan terus kepada penerima untuk membolehkan mereka membeli sendiri barangan keperluan.
“Kami mendapat perkhabaran bahawa stor pemborong yang juga tempat kami membeli barangan untuk diagihkan sebagai bantuan sudah dibom dan pakcik pemiliknya syahid. Kedai juga sudah ditutup.
“Semoga Allah SWT menggantikan yang lebih baik selepas ini. Takziah diucapkan atas kehilangan pak cik yang tercinta,” katanya.
Nurul Ain turut mengucapkan terima kasih kepada Abu Faiq yang sering membantu mereka dalam penyediaan bantuan makanan selama ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya terputus hubungan dengan keluarga mentua selama beberapa hari selepas tentera Israel mengarahkan mereka berpindah dari kediaman sedia ada.
“Pada awalnya, bapa mentua enggan berpindah, tetapi selepas dipujuk, dia bersetuju untuk berpindah ke rumah anaknya di kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata, keluarga mentuanya kini menumpang di rumah kakak ipar di selatan Palestin.
Sebelum ini, Nurul Ain terkandas selama 42 hari di Khan Yunis, Semenanjung Gaza, sebelum dibenarkan keluar melalui sempadan Rafah.
Beliau berada di Khan Yunis sejak 1 Oktober lalu untuk menziarahi keluarga mentua, namun terperangkap apabila perang meletus pada 7 Oktober.
Pada 12 November lalu, Nurul Ain dan suaminya berjaya dibawa keluar melintasi sempadan Rafah dengan bantuan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir dan Kementerian Luar.
Pasangan itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.