Tumpuan :
Nasional

Nurin Hannani ditemui selamat di Tokyo

KUALA LUMPUR: “Mimpi ngeri saya berakhir dan hanya ucapan syukur yang mampu saya lafazkan bila dapat panggilan telefon daripada pegawai Kedutaan Malaysia di Jepun memaklumkan anak yang hilang sejak empat hari lalu, ditemui selamat di Tokyo petang tadi,” kata Noor Afzan Abdul Razak, ibu kepada pelajar Malaysia, Nurin Hannani Mohd Hafizi, yang dilaporkan hilang di Kure, Jepun, sejak Isnin lalu.

Noor Afzan berkata, panggilan diterimanya pada kira-kira jam 3.15 petang itu melegakan perasaan mereka sekeluarga yang sedih dan bimbang sejak Nurin Hannani, 21, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kursus Kejuruteraan Alam Sekitar dan Perancangan Bandar di National Institute of Technology (KOSEN), Kure College itu tidak pulang ke asramanya selepas keluar pada tengah hari Isnin lalu.

“Saya bersyukur bila diberitahu Nurin Hannani selamat ditemui di Tokyo dan pihak Kedutaan Malaysia di Jepun sedang menguruskan hal itu termasuk membawanya ke balai polis bagi pemakluman dia sudah ditemui.

“Nurin Hannani dikatakan ditemui dalam keadaan keliru, tetapi saya tidak tahu di mana dan siapa yang menemui anak sulung saya itu. Setakat ini, saya belum lagi bercakap dengannya, biarlah dia bertenang dulu dan saya serahkan kepada kedutaan menguruskannya sementara menunggu kami datang ke sana dalam tempoh dua tiga hari lagi,” katanya kepada BH, hari ini.

Nurin Hannani adalah pelajar tunggal beragama Islam dan satu-satunya pelajar antarabangsa di institut itu yang berada pada tahun pertama pengajiannya selepas menyambung pengajian di Jepun sejak April tahun lalu.

Difahamkan, gadis itu dipercayai meninggalkan kampus pada tengah hari Isnin lalu dan gagal dihubungi selepas itu, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak kedutaan serta Imigresen Jepun.

Jarak antara Kure dan Tokyo sejauh kira-kira 850 kilometer yang mengambil masa selama 10 jam perjalanan menaiki kenderaan atau lima jam jika menaiki kereta api.

Noor Afzan berkata, dia tidak dapat membayangkan bagaimana Nurin Hannani melalui kehidupannya dalam tempoh empat hari kehilangannya dengan hanya berpakaian seragam biasa tanpa baju tebal ketika cuaca di Jepun masih sejuk ketika ini.

“Emosi Nurin Hannani pasti terganggu ketika ini, sebab itu kami tidak bertanya apa-apa kepadanya, malah pegawai kedutaan juga memberi ruang kepadanya untuk bertenang dulu.

“Saya bersama suami, Mohd Hafizi Ariffin dan anak bongsu akan datang ke Jepun pada hujung minggu ini untuk menemui Nurin Hannani dan memberikan sokongan moral kepadanya. Kami dijangka berada di sana selama seminggu, tetapi ia bergantung kepada keadaan Nurin Hannani, jika emosinya masih belum stabil, mungkin akan dilanjutkan sedikit bagi memastikan kesihatannya pulih,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini