Tumpuan :
Nasional

Nurhidayah perkasa mahasiswa OKU melalui kepimpinan

KUALA LUMPUR: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Malaya (UM), Nurhidayah Johari, 22, bergiat aktif di kampus.

Anak bongsu dari dua beradik ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga seorang aktivis OKU yang mahu memberi inspirasi kepada orang lain dan pernah memenangi anugerah Young Disability Competition (YDC) 2022 Anugerah Star of Hope 2024.

Penglibatannya dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum, termasuk mewakili universiti dalam pelbagai forum dan persidangan, telah membentuk keperibadiannya sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

“Saya pernah melakukan tiga siri pembedahan di kaki. Namun, saya percaya hidup bukan sekadar hidup, tetapi bagaimana kita memberi makna dalam sesebuah kehidupan,” ujar Nurhidayah yang kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (PERMIUM) 2023/2024.

“Saya tidak menjadikan status OKU sebagai satu halangan untuk menuntut ilmu dan menyumbang kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

Selain advokasi OKU, Nurhidayah mahu meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental, dan memperkasa bakat dan kebolehan golongan OKU.

“Saya suka membaca buku-buku yang berisi kandungan berat sejak remaja.

“Saya percaya setiap hari adalah peluang baharu untuk setiap daripada kita untuk berusaha mencapai kejayaan, tanpa mengira latar belakang dan keupayaan fizikal,” ujarnya penuh keyakinan.

Anak kepada pengawal keselamatan dan pekerja kilang ini bercita-cita untuk menjadi seorang ahli psikologi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini