comscore
Tumpuan :
Nasional

Nur Adryana Aisya harumkan nama Malaysia di Beijing

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Nama Malaysia gah di persada dunia apabila Nur Adryana Aisya Abdul Shukor, 16, meraih pingat emas dalam 17th International Earth Science Olympiad Competition (EISO) di Beijing baru-baru ini.

Kejayaan itu adalah hasil daripada minat mendalamnya dalam bidang Sains dan Astronomi bermula sejak sekolah menengah, sekaligus mendorong dia mengikuti aktiviti dan pertandingan berkaitan sains.

Sebelum dipilih mewakili negara, anak jati Melaka ini perlu mengikuti pertandingan dalam negara dan harus melalui beberapa proses terlebih dahulu.

“Sebelum dipilih sebagai wakil negara banyak yang kami perlu tempuhi.

“Saya ambil inisiatif untuk buat banyak kajian sama ada bahan bacaan di perpustakaan sekolah internet mahupun buku yang dibeli di luar,”katanya.

Menurutnya lagi, sesi pemilihan membabitkan 160 perserta yang dijalankan menerusi dalam talian, hanya empat peserta dipilih mewakili Malaysia termasuk dirinya.

Berkongsi kejayaan diraih dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Peking China, pelajar tingkatan 4 Kolej Permata Insan (KPI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini berkata, walaupun mengalami kesukaran dari segi bahasa ia tidak menjadi masalah buat pasukannya memenangi pingat emas.

“Kami dibahagikan kepada enam orang dari negara berlainan bagi setiap kumpulan. walaupun sesetengah peserta dalam kumpulan saya tidak begitu fasih bertutur bahasa inggeris kami masih dapat melontarkan pendapat dan pandangan masing-masing,”katanya.

Kejayaan ini meletakkan namanya sebaris dengan pemenang lain dari Amerika Syarikat, Jepun, Romania, Austria dan Belarus.

Earth Science Olympiad adalah pertandingan olimpiad berprestij dalam bidang geologi, geofizik, oseonografi, meteorologi, astronomi daratan dan sains persekitaran.

Sebelum mengikuti pertandingan di China, pasukan Malaysia menjalani latihan intensif selama tujuh hari yang dikendalikan pakar geologi dari Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini