PAPAR: Seorang lelaki autisme Muhd Nuh Ibrahim Mohd Eddie Bahrin dikhuatiri hilang di Kampung Sumbiling Mogon,sejak pagi tadi.
Pemuda berusia 24 tahun itu disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 7 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.15 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada keluarga mangsa.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya lagi, ketika operasi SAR dijalankan, pasukan bomba menemui pakaian dipercayai milik mangsa.
“Pakaian yang ditemui itu dipercayai milik mangsa di tepi jalan Kampung Sumbiling.
“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.