
KUALA LUMPUR: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima 51,965 panggilan membabitkan kes penipuan dengan kerugian mencecah RM396.85 juta sejak penubuhannya pada Oktober 2022 hingga Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah kerugian itu membabitkan 139,774 akaun keldai.
Dalam tempoh sama katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka 19,294 kertas siasatan bagi kesalahan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sejak penubuhan NSRC pada 12 Oktober 2022 sehingga Januari 2025, sebanyak 174,410 panggilan diterima NSRC.
“Ia merangkumi 51,965 panggilan laporan kes penipuan,” katanya melalui dalam bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah proaktif menangani peningkatan kes penipuan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat.
Azalina berkata, bagi tempoh 2022 sehingga 1 Februari 2025, syarikat telekomunikasi menyekat hampir 1.5 bilion panggilan meragukan.
“Sekatan turut dibuat terhadap lebih 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta, menamatkan perkhidmatan 118,184 talian yang menghantar SMS meragukan, termasuk talian mudah alih dan tetap.
“Syarikat telekomunikasi turut menyekat akses kepada 8,450 laman palsu atau laman ‘phishing’,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.