Tumpuan :
Nasional

NS tak benarkan caj 20 sen untuk beg plastik

Arul Kumar menunjukkan beg plastik jenis biodegradasi yang dibenarkan dibekalkan kepada pengguna tanpa sebarang caj. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Semua pasar raya dan peniaga di negeri ini tidak dibenarkan mengenakan caj bagi penyediaan semua jenis beg plastik kepada pelanggan termasuk daripada jenis biodegradasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, masih terdapat pasar raya yang mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik sama ada jenis yang dibenarkan atau sebaliknya.

“Sebenarnya larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polesterina dan penyedut minuman di seluruh negeri sudah dikeluarkan sejak Oktober 2022.

“Peniaga boleh menyediakan beg plastik jenis biodegrasi atas permintaan.

“Tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan ke atas penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi yang dibekalkan secara sukarela oleh pemegang lesen perniagaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memberikan kelonggaran kepada peniaga dalam tempoh dua tahun termasuk menjalankan pelbagai kempen larangan penggunaan beg plastik.

Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru, semua PBT diarahkan supaya lebih agresif untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap semua peringkat perniagaan.

“Sejak 2022 PBT sudah mengenakan syarat permohonan lesen perniagaan tidak boleh menyediakan beg plastik kepada pelanggan. Tindakan ini adalah satu kesalahan dan melanggar syarat lesen.

“Masih terdapat syarikat besar dan kecil yang membekalkan plastik dilarang seperti oxo-degradable atau jenis photodegradable yang sangat berbahaya kepada manusia dan haiwan.

“PBT tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen ini yang mana boleh membawa kepada pembatalan lesen,” katanya.

Beliau berkata, peniaga atau pasar raya yang melakukan kesalahan ini boleh dikompaun RM250 dan jika gagal bayar boleh diheret ke mahkamah.

Katanya, sebelum ini PBT masih memberikan notis peringatan kepada peniaga yang didapati melanggar peraturan itu membabitkan 1,125 notis di seluruh negeri.

“Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah mengeluarkan 14 notis manakala Majlis Daerah Rembau (MDR) mencatatkan notis peringatan paling tinggi iaitu sebanyak 500 notis dengan peniaga pasar malam mencatatkan jumlah paling tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini