KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menambah baik dan melengkapkan maklumat subpermukaan kawasan Lembah Klang bagi mengelak insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Masjid India, Ogos lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia membabitkan 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui Projek Pemetaan Geologi Subpermukaan Greater KL (3DKL).
“Projek ini berupaya menyediakan data dan maklumat geologi subpermukaan untuk pengurusan risiko bencana geologi termasuk kejadian mendapan tanah dan tanah jerlus.
“Data ini juga akan digunakan untuk perancangan pelan pembangunan khususnya di kawasan bawah tanah (stratum),” katanya melalui jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang bertanya mengenai tindakan susulan JMG susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, selain status laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Struktur Tanah Masjid India.
Nik Nazmi berkata, susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, aktiviti pembangunan dan pembinaan yang membabitkan kerja seperti pengepaman air bawah tanah, penggerudian, penerowongan dan perlombongan juga perlu dikawal bagi mengelak gangguan kepada regim air bawah tanah dan gegaran pada tanah.
“JMG menyediakan Laporan Teknikal Sektoral berhubung insiden terbabit. Laporan ini memberi fokus kepada analisis data, hasil aktiviti pemetaan subpermukaan melalui survei geofizik menggunakan peralatan Ground Penetrating Radar (GPR) dan mengenal pasti tiada rongga batu kapur di zon yang mengalami deformasi struktur tanah.
“DBKL mengguna pakai hasil laporan ini bagi menjalankan siasatan tapak secara terperinci melalui kaedah lubang gerudi dan Ujian Proba Mackintosh (ujian penentuan keupayaan tanah) bagi memperoleh profil subpermukaan terperinci, memastikan integriti struktur tanah dan mempertimbangkan tindakan mitigasi yang sesuai,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.