comscore
Tumpuan :
Nasional

NRES pertimbang henti sepenuhnya pemberian plastik sekali guna seawal 2026

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan sepenuhnya pemberian beg plastik sekali guna seawal 2026 di seluruh negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata setakat ini, dasar itu sudah dilaksanakan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan secara dasarnya tidak lagi memberikan beg plastik sekali guna sebaliknya menggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi.

“Kementerian sedang mempertimbangkan tiada lagi pemberian beg plastik sekali guna seawal 2026 (atau lebih awal) di seluruh Malaysia.

“Kementerian menerima maklum balas positif daripada sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah dijalankan di sembilan negeri.

“Libat urus seterusnya akan dijalankan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021-2030.

Beliau yakin melalui kempen dan sesi libat urus berterusan membabitkan semua pihak, pelestarian plastik dapat direalisasikan.

“Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutama pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Pada masa sama, kerajaan akan berusaha untuk terus menambah baik pengurusan plastik secara lestari termasuk menangani pencemaran sisa plastik di ekosistem marin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini